SELAMAT DATANG KE DUNIA ZAPIN JOHOR




PENGENALAN TARIAN ZAPIN


Tarian zapin (Zafn) yang bermaksud pergerakan kaki cepat mengikut pukulan merupakan sejenis tarian masyarakat Melayu tradisional yang dikenali sejak kurun lamanya. Tarian ini diilhamkan oleh peranakan Arab dan dikatakan berasal dari Yaman. Tarian zapin telah menular luas di kalangan penggemar seni tari di Nusantara. Pada awalnya, tarian ini ditarikan oleh kaum lelaki sahaja tetapi pada masa kini kaum wanita juga turut serta bagi menjadi pemanis dalam tarian tersebut. 




ALAT MUZIK ZAPIN DAN LAGUNYA


Terdapat 4 alat muzik wajib bagi tarian zapin. 4 alat muzik yang wajib adalah gambus, bedok, maruas dan akordion. Alatan muzik yang lain pada masa kini turut digunakan bagi menambah nilai komersial lagu zapin itu sendiri. Pada asalnya, lagu yang dijadikan sebagai iringan tarian zapin berunsurkan puji-pujian terhadap Nabi Muhammad S.A.W dan ke arah keagaman. Tetapi pada masa kini, setelah menerima adaptasi dan penyesuaian, lagu iringan turut menceritakan mengenai pasang bercinta, kehidupan masyarakat Melayu dan sebagainya. 



Maruas


Gambus
                                           
Akordion
Bedok




JENIS ZAPIN 
Di Johor terdapat 16 jenis zapin. Berikut merupakan 16 jenis zapin yang terdapat di Johor:


Jenis-jenis Zapin



YAYASAN WARISAN JOHOR DAN JABATAN KEBUDAYAAN DAN KESENIAN NEGERI JOHOR



Sehingga kini, di negeri Johor tarian zapin masih diberikan perhatian yang serius sehinggakan terwujudnya sebuah jabatan kesenian bagi menjaga dan memelihara tarian tradisi ini. Jabatan yang diberikan tanggungjawab dan kepercayaan oleh kerajaan negeri Johor ialah Yayasan Warisan Johor (YWJ) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Johor (JKKN). Yayaysan Warisan Johor merupakan pertubuhan yang memelihara dan memartabatkan budaya dan tarian zapin.Oleh itu, segala ketetapan dan peraturan mengenai zapin di Johor dan di Malaysia perlulah ditetapkan dan perlu dirujuk kepada YWJ bagi memastikan segalanya tidak terlari daripada yang asal.


Terdapat 5 orang Jurulatih Tari, Bahagian Pembangunan Seni Tari, Yayasan Warisan Johor yang menjadi panduan atau pemantau dalam pergerakan zapin di negeri Johor. Setiap daripada 5 orang ini perlulah memegang sekurang-kurangnya 2 hingga 4 zapin yang berasingan agar tidak dicampur adukkan dan mahir dalam pengkhususan masing-masing. Sekiranya terdapat pihak atau mana-mana sekolah yang ingin mengadakan bengkel mahupun pertandingan, mereka inilah merupakan orang-orang yang terpenting dalam mengendalikannya.





Siti Hanizah Binti Hayon atau lebih mesra digelar Kak Hani merupakan salah seorang daripada Jurulatih Tari, Bahagian Pembangunan Seni Budaya, Yayasan Warisan Johor. Dalam pada itu, beliau juga menjaga dan memantau pegerakkan zapin-zapin oleh aktivis negeri Johor. Beliau diberikan tanggungjawab dan amanah untuk menjaga dan memelihara Zapin Pat Lipat dan juga Zapin Mahpom. Beliau juga sering kali menjadi juri bagi pertandingan-pertandingan zapin yang diadakan di dalam negeri Johor.


Hamidah Binti Ibrahim atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Midah merupakan salah seorang daripada Jurulatih Tari, Bahagian Pembangunan Seni Budaya, Yayasan Warisan Johor. Beliau juga merupakan orang-orang yang terpenting dalam industri seni tari zapin di negeri Johor pada hari ini. Beliau juga telah diberikan tanggungjawab untuk menjaga Zapin Padang Sari, Tenglu dan Pulau. Sama seperti Kak Hani, beliau juga sering kali dijemput bagi menjadi juri pertandingan zapin di dalam negeri Johor.




Gambar di atas merupakan salah seorang daripada Artis Budaya Yayasan Warisan Johor gred B19 yang bernama Sarah Naqibah Binti Othman. beliau telah berkhidmat selama 3 tahun di Yayasan Warisan Johor dan merupakan salah seorang yang sudah mempelajari 16 jenis zapin di negeri Johor. Pada tahun 2017, beliau bersama rakan-rakan sekerja yang lain telah mewakili Johor dengan membawa nama Yayasan Warisan Johor ke pertandingan MAKSAK 2017 dan telah mendapat Naib Johan.

                       
Sarah Naqibah (Hadapan)  dan Artis Budaya Yayasan Warisan yang lain


Anak kelahiran Johor ini lebih gemar akan Zapin Tenglu Mak Usu kerana ragamnya yang manis dan dapat menyakinkan dirinya dalam berzapin. Walaubagaimana sekalipun, beliau tidak melupakan zapin yang lain dan sentiasa cuba untuk memperbaiki dirinya bagi menjadi seorang penari yang serba boleh dan terus meminati seni tari warisan Johor ini.

TARIAN ZAPIN JOHOR
"BIDANG KEGEMARAN KAMI"



Rujukan:
Puan Hamidah Binti Ibrahim, Puan Siti Hanizah Binti Hayon, Jurulatih Tari, Bahagian Pembangunan Seni Budaya, Yayasan Warisan Johor.

Cik Sarah Naqibah Binti Othman, Artis Budaya Gred B19, Yayasan Warisan Johor.

Encik Azli Bin Mohd Fadhil, Pengerusi Kumpulan Kebudayaan Seri Irwarna TarI, Batu Pahat.

Kredit: 

Muhammad Asyraf Bin Mohamad Nazri (2019), Syed Adil Bin Syed Abu Bakar (2019), Muhammad Asyraf Azizi Bin Khalid (2019), Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa, Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Bahasa Melayu Ambilan Jun 2019.

ZAPIN PADANG SARI

  Allahyarham Haji Saim Bin Ros


SEJARAH ZAPIN PADANG SARI

Allahyarham Haji Saim Bin Ros merupakan penerus kepada Zapin Padang Sari dan lahir di Kampung Parit Haji Rasul, Batu Pahat, Johor. Beliau telah menetap di Kampung Padang Sari, Batu Pahat, Johor dan Zapin Padang Sari ini juga telah berasal daripada Kampung Padang Sari, Batu Pahat Johor. Beliau telah mendapat bimbingan daripada 2 orang guru yang bernama Wak Muh Benjol dan Tuan Haji Surjat. 


KEISTIMEWAAN ZAPIN PADANG SARI

 Kebiasaanya pada zapin-zapin lain, kiraan 1 bagi permulaan kaki adalah pada " point " atau kaki pada fasa persedian. Tetapi untuk Zapin Padang Sari ini, kiraan 1 permulaan langkah kaki adalah kebelakang pada arah 45 darjah. Pergerakkan kaki tersebut adalah perbezaan ketara yang amat dikenali dalam Zapin Padang Sari. Selain itu, pegerakkan tangan yang menceduk pada kiraan 6 memberikan zapin ini lebih cantik dan beralun tariannya.


Tarian Zapin Padang Sari ini sesuai ditarikan oleh penari lelaki kerana geraknya yang mempunyai unsur bermain sewaktu ditarikan. Oleh itu, sekiranya penari lelaki sahajayang  menarikannya, unsur permainan dalam sebuah tarian itu akan hidup dan akan menjadikan penonton yang melihatnya terpesona dan kagum. Lagu-lagu yang sesuai diiringkan dengan Zapin Padang Sari ini ialah Habibilah, Alunan Zikir Ya Rabbi dan  Ya Rasullah.





Berikut merupakan ragam-ragam dalam Zapin Padang Sari:



INFO TAMBAHAN
Di Batu Pahat, terdapat sebuah kumpulan kesenian yang mengangkat Zapin Padang Sari dalam seni tarian ini. Kumpulan tersebut ialah Kumpulan Kesenian Seri Budaya Batu Pahat. Kumpulan ini seringkali membawa Zapin Padang Sari ini dalam pertandingan-pertandingan zapin yang diadakan. Dan yang lebih mengagumkan lagi mereka sering kali mendapat Johan dan Busana Terbaik dalam pertandingan-pertandinagn tersebut. Antaranya Festival Zapin Johor 2008 dan Festival Zapin Johor 2010. Dibawah ini saya sertakan sekali video oleh Kumpulan Kesenian Seri Budaya Batu Pahat sewaktu mendapat Johan dalam Festival Zapin Johor 2008.


Kumpulan Kesenian Seri Budaya, Batu Pahat



Video Festival Zapin Johor 2008 oleh Kumpulan Kesenian Seri Budaya, Batu Pahat.



Berikut merupakan video Zapin Padang Sari yang ditarikan oleh Allahyarham Haji Saim yang merupakan penerus zapini ini bersama dengan penari-penari dari Kumpulan Kesenian Seri Budaya Batu Pahat, Johor. Detik ini boleh dianggap detik yang bermakna kerana kesudian dan keinginan Allahyarham Haji Saim yang ingin menari sebagai pembukaan lagu.

Rujukan: 
Puan Hamidah Binti Ibrahim, Jurulatih Tari, Bahagian Pembangunan Seni Budaya, Yayasan Warisan Johor.

Siti Hawa Binti Ismail, Bekas Penari Kumpulan Kesenian Seri Budaya, Batu Pahat, JOHOR.


Kredit: 


Syed Adil Bin Syed Abu Bakar (2019), Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa, Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Bahasa Melayu Ambilan Jun 2019.

ZAPIN TANJUNG LABUH

    LATAR BELAKANG

PEWARIS ZAPIN TANJUNG LABUH: PUAN SALMAH BINTI AHMAD


PENERUS ZAPIN TANJUNG LABUH: CIK FAUZIAH BINTI SHAHADAN

SEJARAH ZAPIN TANJUNG LABUH

Zapin Tanjung Labuh berasal dari Kampung Tanjung Labuh, Batu Pahat, Johor. Zapin ini telah diwariskan kepada Puan Salmah Binti Ahmad yang menetap di kampung tersebut. Tarian ini sesuai ditarikan oleh penari wanita sahaja kerana kelembutan dan lenggok tarian yang begitu lemah gemalai.
Ragam tarinya yang berkisahkan liku-liku sungai yang mengalir memerlukan kelembutan bagai air sungai yang mengalir dalam tariannya. Oleh itu, lenggok Zapin Tanjung Labuh ini agak sukar untuk dikuasi.



KEISTIMEWAAN ZAPIN TANJUNG LABUH

Zapin ini mempunyai 4 ragam utama iaitu ragam satu (asas), ragam dua, ragam tiga dan ragam empat. Uniknya zapin ini adalah terletak pada kiraan 1 permulaan ragam. Hal ini kerana, setiap kiraan 1 pada setiap langkah perlu digantungkan kaki dengan halus dan lebih tertib. Langkah gantung itu adalah satu identiti pada Zapin Tanjung Labuh.








INFO TAMBAHAN

Walaubagaimana sekalipun, Zapin Tanjung Labuh ini sesuai ditarikan dengan Zapin Kores oleh penari lelaki. Hal ini kerana, ragam tarinya yang seakaan serupa dan kisah terciptanya zapin itu sendiri yang sememangnya sama. Tambahan pula, Kampung Tanjung Labuh dan Kampung Kores adalah berdekatan di dearah Batu Pahat. Perbezaan ketara yang terdapat di antara dua zapin ini ialah Zapin Tanjung Labuh hanya menggunakan 1 tangan denagn gerak tangan pada paras pinggang manakala bagi Zapin Kores pula pergerakkan tangan yang lebih tinggi pada paras bahu. Oleh itu, sememangnya elok untuk digabungkan tarian ini bersama.





 Berikut merupakan ragam 1 hingga 4 bagi Zapin Tanjung Labuh:



Berikut merupakan video gerakkan Zapin Tanjung Labuh yang telah mempunyai pola lantai, koreografi dan lagu yang tersendiri:

Rujukan: 
Puan Salmah Binti Ahmad, Pewaris Zapin Tanjung Labuh.



Kredit:


Syed Adil Bin Syed Abu Bakar(2019), Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa, Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Bahasa Melayu Ambilan Jun 2019.

ZAPIN PAT LIPAT





Zapin Pat Lipat merupakan sejenis zapin yang mula diperkenalkan di Parit Bugis, Muar, Johor dan kini telah berkembang hingga ke Parit Yusof Darat ( Mukim Sungai Balang).

Zapin Pat Lipat mula ditarikan oleh golongan imam selepas tamat bacaan tahlil pada majlis keramaian seperti majlis perkahwinan dan majlis berkhatan.




Zapin ini diperkembangkan oleh Tuan Imam Nasir bin Mahmud Sulaiman. Beliau merupakan seorang guru agama dan telah menurunkan ilmu Zapin Pat lipat ini kepada pewaris yang merupakan generasi ketiga mewarisi zapin tersebut. 

Setelah menyedari Zapin Pat Lipat kian dilupai, En Mohd Amir telah menubuhkan sebuah kumpulan yang diberi nama "Zapin Sri Serumpun"




Keistimewaan Zapin Pat Lipat
  • Dahulunya ditarikan dengan iringan lagu-lagu Arab seperti Sollu 'Alal Hadi Soffi, Ya Barqul Sami, Bad'ul Qidar dan Ya Naam Sidi.
  • Setelah zaman berubah, kini Zapin Pat Lipat turut ditarikan dengan lagu-lagu Melayu seperti:


Video di bawah menunjukkan pergerakkan bagi setiap ragam Zapin Pat Lipat

                                               


Video di bawah menunjukkan Pertandingan Zapin Peringkat Daerah Batu Pahat 2016 yang menggunakan gerakkan Zapin Pat Lipat. Dengan diiringi lagu Zapin Pekan, berlangkahkan Zapin Pat Lipat, tarian ini dilihat amatlah cantik ditarikan oleh penari lelaki dan wanita. Pola lantai yang menarik, koreografi yang bertenaga dan mantap ini dicantikkan dengan busananya yang menambat hati para penonton.






Rujukan: 

Puan Hanizah Binti Hayon, Jurulatih Tari, Bahagian Pembangunan Seni Budaya, Yayasan Warisan Johor.

Merujuk kepada Kumpulan Kebudayaan Seri Irwarna Tari, Batu Pahat, Johor.


https://www.youtube.com/watch?v=FF28U7Dq63U


Kredit: 

Muhammad Asyraf Bin Mohamad Nazri (2019).  Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa, Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Bahasa Melayu Ambilan Jun 2019.


ZAPIN MAHPOM




Zapin Mahpom berasal dari Parit Tengah Sarang Buaya, Muar dan telah diperkembangkan lagi ke Parit No 2, Parit Yusof Darat (mukim Sungai Batang)



Istilah "Mahpom" diambil sempena hasil pukulan marwas yang agak berbeza dengan pukulan marwas Zapin yang lain. Pengasas Zapin ini telah menurunkan ilmunya kepada anak saudaranya sendiri iaitu En. Suhairi bin Adam atau lebih dikenali dengan nama pakcik Turiman.

  
Keistimewaan

Keistimewaannya terletak pada pergerakan kaki kiraan enam yang mengheret kaki bertemu lantai. sekiranya tidak dapat dilakukan dengan betul, Zapin tersebut dianggap tidak menjadi. Penari yang menarikan Zapin ini sudah pastinya akan berasa sakit di bahagian kaki



Lagu dan Pakaian

Antara lagu yang mengiringi persembahan Zapin Mahpom ini seperti lagu Anak Ayam. Ketika kumpulan ini mengadakan persembahan, busana dan pakaian yang biasa digunakan ialah baju Melayu Teluk Belangga berdagang luar dan bersongkok. Adakalanya terdapat segelintir penari yang menggunakan tarbus.

Video di bawah menunjukkan pergerakan setiap ragam Zapin Mahpom





Berikut merupakan video gerakkan tari Zapin Mahpom yang ditarikan dalam Pertandingan Zapin Johor. Pola lantai yang kemas, koreografi yang menarik dan busana yang cantik menyebabkan Zapin Mahpom ini kelihatan hebat.






Rujukan: 
Merujuk kepada Puan Hanizah Binti Hayon, Jurulatih Tari, Bahagian Pembangunan Seni Budaya, Yayasan Warisan Johor.



Kredit: 

Muhammad Asyraf Bin Mohamad Nazri (2019), Institut Pendidikan Guru Kampus          Bahasa Antarabangsa, Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda              
        Perguruan, BahasMelayu Ambilan Jun 2019.


ZAPIN TENGLU MAK USU


                                                           

                                                                      Zapin Tenglu




         
     Secara umumnya, Zapin Tenglu merupakan salah sebuah zapin yang ada di negeri Johor. Zapin Tenglu boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu Zapin Tenglu Mak Usu, Zapin Tenglu Pak Akob,  dan juga Zapin Tenglu Pak Othman.


Rajah: Jenis-jenis Zapin Tenglu


      Namun demikian, terdapat dua jenis Zapin Tenglu yang lebih dikenali atau popular iaitu Zapin Tenglu Mak Usu dan Zapin Tenglu Pak Akob. Ini kerana kedua-dua zapin ini mempunyai ragam tersendiri yang lebih mudah dan unik langkahnya.



      Sebenarnya Zapin Tenglu Mak Usu dan Zapin Tenglu Pak Akob mempunyai sedikit perbezaan. Zapin Tenglu Mak Usu sesuai ditarikan oleh golongan wanita manakala Zapin Tenglu Pak Akob pula lebih sesuai ditarikan oleh golongan lelaki. Ini kerana Zapin Tenglu Mak Usu lebih sopan dan lembut pergerakannya manakala Zapin Tenglu Pak Akob pula mempunyai pergerakan yang sedikit kasar dan rancak.





                                                            
                                                            Zapin Tenglu Mak Usu


                                Gambar: Puan Habsah binti Mohamad (Mak Usu)


     Zapin Tenglu Mak Usu telah diasaskan oleh seorang wanita bernama Puan Habsah binti Mohamad atau lebih mesra dipanggil Mak Usu. Puan Habsah atau Mak Usu berasal dari Kampung Tenglu, Jalan Haji Omar, Mersing, Johor. Beliau telah meminati seni tarian zapin sejak beliau berusia 14 tahun lagi. Bagi mendalami seni tarian zapin, beliau telah mempelajari ilmu tarian zapin dari seorang guru tari yang berasal daripada Banjarmasin, Indonesia.




     Langkah tari Zapin Tenglu Mak Usu ini telah diilhamkan daripada gerak-geri/ perlakuan golongan wanita yang bermain atau berjalan-jalan di persisiran pantai. Oleh itu, ketika tarian zapin ini ditarikan, langkah tarian ini memerlukan penarinya menari seolah-olah mengangkang.  Langkah ini dilhamkan berdasarkan perbuatan seseorang ketika berjalan di kawasan persisiran pantai yang berair dan basah.



     Keunikan tarian ini digambarkan oleh Mak Usu melalui tariannya. Berdasarkan pergerakan tarian Zapin Tenglu Mak Usu, seseorang penari zapin itu haruslah menari sambil tangan kirinya menyingsing sedikit kainnya ke atas manakala tangan kirinya pula seolah-olah berkayuh. Tambahan pula, kedua-dua bahu penari pula haruslah digerakkan sekali-sekala.




Berikut merupakan ragam pergerakan Zapin Tenglu Mak Usu:





Misalnya, berikut merupakan contoh tarian Zapin Tenglu Mak Usu:
                           

                                                             



Rujukan:

Hamidah Binti Ibrahim. Jurulatih Tari, Bahagian Pembangunan Seni Budaya, Yayasan Warisan Johor

Kaharuddin Momin. (1975). Tarian zapin. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Mariam Rasid (2019). Seni Tarian Zapin Akar Kita : Klik Web  DBP. Diperoleh daripada http:// klikweb .dbp .my /wordpress/?p=11412

Pusat Dokumentasi, Yayasan Warisan Johor. Jalan Sungai Chat, Sri Gelam, 80100 Johor Bahru, Johor.

Siti Hanizah binti Hayon. Jurulatih Tari, Bahagian Pembangunan Seni Budaya, Yayasan Warisan Johor


YouTube. (2019). Zapin Tenglu - Tempat ke-3, Pertandingan Zapin Johor daerah K. Tinggi 2018 (Gemersik Laksamana Tari). Diperoleh daripada https://www.youtube.com/watch?v=5s3cMdxOXok&feature=youtu.be.




Kredit:



               Muhammad Asyraf Azizi bin Khalid (PPISMP Bahasa Melayu Ambilan Jun 2019)
         Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.



SELAMAT DATANG KE DUNIA ZAPIN JOHOR

PENGENALAN TARIAN ZAPIN T arian zapin  (Zafn) yang bermaksud pergerakan kaki cepat mengikut pukulan  merupakan sejenis  tarian mas...